Bab harga dan jualan serama sebenarnya dipengaruhi oleh faktor musim sepanjang tahun. Ini sememangnya belaku setiap tahun mengikut peristiwa dan kalender semasa. Jualan serama senantiasa dipengaruhi oleh perkara-perkara seperti berikut :
1. Musim Buka Sekolah (Peminat lebih menumpukan kewangan untuk anak-anak sekolah seperti perbelanjaan baju, buku dan alatan sekolah)
2. Musim Perayaan (Oleh kerana permainan ayam serama kebanyakkan peminatnya dikalangan orang islam{walaupun ada banyak juga sahabat kita yang non muslim} maka faktor perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha juga memberi effect kepada penjualan serama. Kebanyakkannya pada waktu ini, peminat lebih menumpukan faktor kewangan untuk balik kampung beraya atau untuk pakaian dan persiapan raya secara amnya)
3. Musim Tengkujuh (Pada ketika musim ini, kebiasaanya harga serama turun bukan kerana faktor kewangan disimpan untuk persiapan atau persediaan banjir, tetapi lebih kepada pemilik yang tidak mahu menanggung sebarang risiko dan masalah ketika banjir, maka banyak serama dijual secara agak meluas disekitar pantai timur.)
4. Musim penyakit unggas (Harga serama boleh menjadi kurang dibeberapa daerah yang terlibat jika sesuatu daerah diistiharkan sebagai wabak penyakit bagi unggas contohnya. Ini kerana sekatan oleh pihak berkuasa seperti Veterina telah menyebabkan pembeli tiak membeli kerana takut sebaran penyakit dan pastinya setiap daerah yang terkena wabak ini akan di isolate unggasnya bagi mengelakkan penyakit menular dengan lebih cepat. Pada satu satu ketika pada musim tahun-tahun yang lalu apabila sesuatu daerah diistiharkan sebagai terkena wabak penyakit unggas tertentu, semua unggas sekitar 50km radius dihapuskan. Ini turut menyumbang kepada kejatuhan harga semasa bagi serama untuk sesetengah tempat).
Namun, bagi mereka yang optimis dan pandai mencari peluang dan ruang pastinya mereka akan dapat melihat dimana waktu yang sesuai untuk membeli ayam. Antara musim yang sesuai untuk membeli ayam ialah :
1. Bulan Disember iaitu semasa cuti sekolah banyak pemilik akan menjual serama untuk menampung perbelanjaan masuk anak ke sekolah, oleh itu diatas persaingan yang sihat ini, harga juga agak murah berbanding biasa.
2. Pembelian serama semasa bulan puasa atau sebelum raya adalah satu tips pembelian yang bijak kerana pada masa ini, peminat lebih banyak menumpukan kepada ibadah bulan ramadhan yang seterusnya juga dapat mengurangkan sedikit harga semasa bagi ayam serama.
3. Ketika musim tengkujuh memang diketahui banyak peminat yang akan melepaskan ayam serama kerana bimbang akan faktor penyakit dan kematian ketika banjir yang turut mengurangkan harga serama dipasaran tempatan.
Namun, perlu diingat faktor-faktor ini tidak dapat mengurangkan harga bagi ayam-ayam berkualiti pertandingan. Ini kerana ayam serama untuk pertandingan sentiasa dicari peminatnya yang tersendiri iaitu dikalangan peserta pertandingan serama. Adalah amat biasa kita mendengar anak ayam kualiti pertandingan dijual dengan harga 1k malahan hingga 2.5k seekor.
Sebab itu, harga serama yang murah biasanya padan dengan harganya, bergitu juga ayam serama yang dijual mahal mestilah berpadan dengan harganya. Janganlah kita mencari ayam yang berharga murah tetapi nak yang selam jeck dada. Ini kerana ayam cantik berkualiti pertandingan tetap mahal harganya. kalau ada yang murah, jangan kata orang lain, saya sendiri pun nak beli kalau ada.
Bagi peminat-peminat baru, jika mencari serama berkualiti, carilah ayam serama yang pernah dapat nombor disesuatu pertandingan atau carilah direban-reban yang disahkan serta diakui oleh kebanyakkan peminat serama. Namun, jika mencari yang murah untuk sekadar pets, tiada masalah cuma pilihlah yang mana berkenan dihati sebab banyak group dan orang perorangan yang menjual serama pasti ada yang sesuai dihati dan sesuai dengan harganya.
Nilai atas harga serama, pada asasnya adalah sesuatu nilai yang dipersetujui oleh penjual dan pembeli, jika dipersetujui oleh kedua pihak walaupun tidak masuk akal sama sekali bagi pihak ketiga atau keempat akan harganya, itu adalah hak bagi pihak penjual dan pembeli itu tadi. Mereka yang lain hendaklah akur kerana akad penjualan tadi telah dipersetujui oleh kedua pihak. Janganlah kita mempertikaikan hak persetujuan mereka tadi. Murah atau mahal, itu adalah hak mereka.
SMk
No comments:
Post a Comment