Friday 29 July 2016

Anak Reban


Induk MIszOlympus telah menetas dan dapat 2 ekor anak yang full set yellow. Nampak cegas dan sihat. Ini antara induk reban SMk yang kuat mengekalkan subang putih pada keturunannya. Untuk rekod anak ini menetas pada 28 Julai 2016.

SMk

Kunjungan Rakan


Kunjungan rakan ke reban SMk yang daif pada Ahad 24 Julai 2016 yang lalu. Rizal juga menunjukan ayam dimilikinya sambil memohon pandangan untuk dibawa ke Game Kenyir yang akan datang. Pada hemat SMk ayam Rizal boleh diketengahkan asalkan perlu rajin dilatih dan beberapa isu perlu dilakukan agar cutting ayam tersebut cantik dan lock cepat. Pada game Kenyir nanti ayam tersebut akan layak masuk kategori Muda.

Pada hari yang sama juga Zack Serama Hiro membawa anak A aranya dan FireVirachocha. Nampak semakin menawan hati kedua-dua anak tersebut. Insya Allah boleh pergi jauh jika rajin dibawa berjalan dan selalu dipegang dengan rapi. Misz Iced juga telah SMk serahkan bersama-sama anak tunggalnya kepada Zack. Semoga anak tersebut sihat hingga ke dewasa.

SMk

Pelatih Reban SMk


Ini adalah calon-calon SMk bagi beberpa game yang akan datang. Cuma harapan SMk semoga ada antara 4 ekor ayam ini siap remaja pada game Raja Kenyir 2016 nanti. Latihan telah dimulakan sejak semalam dan akan diteruskan sehingga awal tahun hadapan.

SMk

Tuesday 26 July 2016

SonicTrechento


SonicTrechento dari bapak kelabu Sri6 dan ibu SG. Ayam ini pernah menghidapi masalah penyakit rusuk semasa anak A namun berjaya dipulihkan dan menjadi antara ayam yang berpontensi untuk ke game. Ayam ini akan mengikuti anak-anak C yang lain dalam latihan bagi misi ke Kenyir nanti.

SMk

Monday 25 July 2016

SonicDueChento


Ayam ini SMk beli semasa anak B dari sahabat kampung SMk yang menetap di Sarawak iaitu Cikgu Razak. Ayam ini SMk beli semasa di Bon Pasar Datuk Keramat yang lalu dengan niat untuk dihantar ke kampung SMk. Tetapi setelah diteliti keadaannya, SMk dapati ayam ini perlukan penjagaan khas maka SMk bercadang menjaga ayam ini untuk dibawa ke Kenyir nanti Insya Allah.

Oleh kerana SMk membeli ayam ini dengan harga RM200, maka SMK memberi nama nya dengan nama DueChento bermaksud dua ratus dalam bahasa Italy. Sonic pada pangkal nama adalah menunjukkan ayam ini adalah ayam yang SMk beli dan bukan dalam baka Fire.

SMk

Anak Batch ke 2


Anak Batch ke 2 FireSpring12 dan MiszA400M kali ini melahirkan 1 jantan dan 3 betina. Semua betina ini akan dimasukkan semula dengan bapanya iaitu FireSpring12 nanti bagi mendapatkan First Generations Fire di Sarawak. Hasil-hasil ini nanti akan menjadikan bak Fire ini menginjak ke tahap Fire 3.0.

Semoga segalanya berjalan lancar nanti. Amin.

SMk

Anak Pawah


Anak single FireSharp vs MiszIced telah lahir dengan warna kuning tetapi mempunyai stripe coklat dibelakangnya. Kalau melihat pada ciri-cirinya kemungkinan ada ianya akan menjadi betina. Tetapi itu hanya ramalan, jika hendak mengetahui lebih tepat perlu menanti tempoh 3 atau 4 minggu lagi.

Anak ini lahir pada 20 Julai 2016 pada  jam sekitar 4 petang. Tahniah kepada SeramaHiro untuk anak ini.

SMk

Tuesday 19 July 2016

Sekitar Game KL 16 Jul 2016


Ini adalah gambaran sekitar pertandingan ayam serama, game Kuala Lumpur pada 16 Julai 2016. Secara keseluruhannya pada pandangan SMk ianya berjalan dengan baik dan penyertaan ayam juga meningkat dari segi kualiti. 

SMk

Friday 15 July 2016

FireOwl before contest


FireOwl semakin positif, semoga dia terus rajin mengangkat dadanya sesuai dengan cuttingnya nanti.. apa pun SMk telah berpuas hati dengan menghasilkan anak reban SMk sendiri.

SMk

Wednesday 13 July 2016

wakil SMk Bon Pasar Datuk Keramat





Oleh kerana SMk akan berjuang seorang ke Bon Pasar Datuk Keramat sabtu ini, SMk telah memilih beberapa calon untuk SMk bawa bersama. Seperti biasa, berkumpulan atau individu SMk tetap turun dengan penuh semangat dan pastinya dengan ayam ORI. Falsafah SMk, biar kalah tetapi kalah bermaruah adalah pegangan SMk sejak dahulu lagi.

Jika tiada halangan, SMk akan membawa FireVirachoca untuk kategori Anak B, FireOwl untuk kategori Remaja dan akhir sekali Misz History untuk kategori Induk. Semoga dipermudahkan Allah.. Amin.

SMk

Semangat yang berkaca



Muktahir ini SMk melihat kepada mood selepas raya nampaknya telah mengembalikan semangat berserama seterusnya banyak player dan breeder pun nampaknya mula memaparkan ayam masing-masing. Ianya sesuatu yang amat positif pada pandangan SMk. Dengan Game sepanjang Julai dipenuhi setiap minggu dengan game Pasar Datuk Keramat, Manir Terengganu dan Kedah. Manakala klimaks game tahunan adalah Raja Kenyir pada hujung bulan Ogos nanti.

Tetapi pada pandangan peribadi SMk, player-player baru ini terlalu over confident dan hanya melihat selam sebagai ciri kelayakan utama game. Lupakah mereka kepada posisi selam cuma kelebihan 1 mata, manakala markah tubuh kebanyakkan bergantung kepada gaya bagi mendapatkan markah atau mata lebih. Ditambah pula pengabaian dari segi aksesori seperti balung, bulu, sayap, ekor dan kaki. 

Oleh itu, SMk cadangkan, bawalah ayam tersebut ke game kecil dan lihat markah yang diperolehi. Dari situ, lihatlah kekurangan dan kelebihan pada skema. Jika lebih markah kira baguslah jika kurang, sesuatu perlu dilakukan jika ingin meneruskan semangat ke game dengan ayam tersebut. Nanti jangan dah pergi game, tak habis-habis dengan perkataan bilur. Padahal bukan salah ayam, tetapi salah tuan yang terlalu over confident macam nak boleh BOTB.

Sebagai contoh, jika balung kene potong markah banyak. Maka lihat kembali apakah yang perlu dilakukan bagi mengembalikan kembali markah yang dipotong. Adakah boleh dicapai atau tidak jika hendak diteruskan ke game. Bukan jenis berserah bergitu sahaja. Sama juga dengan ciri-ciri yang lainnya. Bolehkah dibayangkan, jika ayam tersebut mencapai markah tertinggi untuk setiap kolum aksesori (kerana boleh disiapkan player) maka kolum gaya dan tubuh adalah atas persembahan ayam tersebut sendiri di meja. Dari situ, kemungkinan untuk lebih mendapatkan markah tinggi adalah lebih baik. Maka selain ayam yang kemas, tuan perlu kemas juga dari segi mindanya. kerana setiap pertandingan ada syarat kelayakkan dan juga ada teknikalnya. Semoga ada yang membaca artikel ini mengambil berat nasihat yang SMk sampaikan ini.

Kerana SMk tidak suka mendengar perli memperli dengan perkataan bilur selepas game padahal bukan salah ayam pun kebanyakkannya. Bila dah bilur, nanti ada yang nak berhenti nak kosongkan reban. Tetapi selepas 2 3 game ada lagi mukanya nampak. Ini sebenarnya tidak baik untuk peminat baru kerana nampak seperti putus asa tu kebiasaan dalam serama. Padahal sebenarnya kita join game sebab nak menikmati kesenian dan kecantikkan ayam serama. Itu perlu difahami sedalam-dalamnya. Kemenangan itu perkara kedua bagi seorang breeder sejati. Kerana yang penting adalah nilai skema yang diterima breeder tersebut akan menetukan samaada breeding yang telah dilakukan telah mencapai tahap yang betul atau tidak, Bagi player yang membeli itu perkara lain kerana nak siapkan ayam pun hantar kepada bomoh untuk saloon. 

Bagi breeder sejati, apabila ayam kita beraksi atas meja ianya merupakan satu kebanggaan kerana mewakili reban kita, ditambah lagi dengan adunan darah yang telah dicorakkan oleh breeder tersebut bagi meletakkan ayam mereka sebaris dengan ayam-ayam dibeli dengan harga ber K tetapi kita mampu berkongsi meja. Maka ianya sesuatu pencapaian yang terbesar sebenarnya.

Semoga apa yang SMk tulis menjadi wadah pembuka minda buat kita bersama.

SMk

Alhamdulillah, SMk telah berjaya design Baju untuk digunapakai pada Game 16hb Julai sabtu ini di Pasar Datuk Keramat. Untuk game kali ini SMk tidak menumpukan kepada ayam yang dibawa tetapi lebih kepada promosi Group Bullet Borneo Special Cawangan Petra Jaya kepada komuniti ayam serama di seluruh Malaysia. 

Baju Navy Blue akan digunakan sebagai official wear manakala baju berwarna merah (akan mula ditempah minggu depan) lebih kepada field wear dan juga dibuka untuk tempahan kepada sesiapa yang berminat. Dalam perkiraan SMk juga, SMk akan cuba mereka atau design baju round neck supaya boleh dijual kepada komuniti muda seperti pelajar sekolah. Round Neck ni dapat mengurangkan kos pembuatan dan dapat dijual dengan harga mampu milik, kerana pastinya tujuan asal SMk adalah untuk mempromosikan serama dan bukan berasaskan keuntungan semata-mata.

Insya Allah, semoga perancangan yang SMk lakukan akan dipermudahkan dan berjaya. Amin.

SMk

Sunday 10 July 2016

Mulai hari ini, pemyertaan SMk ke game akan lebih menonjolkan atau mengetengahkan group komuniti yang SMk pelopori dikampung halaman SMk lebih  dari kumpulan sebelum ini. Lagipun ini sebenarnya perlu dilakukan agar persatuan yang SMk tadbir urus sebelum ini mula berdikari memulakan langkah mereka tanpa SMk. Lagipun SMk melihat pada perkembangan terkini mereka telah mula bergerak dengan sendiri maka itu sesuatu yang amat baik sekali. Setelah melihat kebergantungan mereka terhadap SMk semakin menyusut maka ini sesuatu yang positif bagi SMk kerana dapat memberi tumpuan yang lebih baik untuk masa depan terhadap minat SMk sendiri.

Insya Allah SMk akan mula turun dengan identiti baru ini pada game di Pasar Keramat Kuala Lumpur anjuran pihak KSSKL pada 16 Julai 2016 minggu ini. Buat masa sekarang SMk membina komuniti Ayam Serama Cawangan Petra Jaya ini bersama-sama adik SMk iaitu Aman Apm (FB) bagi melebarkan lagi minat SeramaMania agar tersebar lebih meluas.

Untuk Masa akan datang bermula dari Game pada 16 Julai ini juga SMk akan memulakan satu akaun FB khas bagi mendokumentasikan gambar-gambar sekitar game atau aktiviti didalam FB GBBs Cawangan Petra Jaya sebagai satu alternatif kepada wadah coretan yang sedia ada. Tetapi blog Serama Malaysia Ku ini tetap menjadi keutamaan buat SMk kerana blog ini lebih bersifat peribadi dan first hand bagi SMk sendiri.

SMk

Sunday 3 July 2016

Selamat Hari Raya Aidilfitri..



SMk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung blog SMk dan bagi yang balik ke kampung SMk doakan agar sahabat-sahabat membuat perancangan dan semoga selamat sampai dikampung halaman.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

SMk

Friday 1 July 2016

FireVivachocha


Alhamdulillah, FireVivachocha semakin positif. Sekarang mula nampak makin mahu bermain dengan tangan dan mula bergaya bila nampak kelibat orang. Ciri-ciri ini adalah ciri utama untuk bloodline Fire dimana dari anak dah mula nampak akan bergaya bila nampak orang. Bukan jenis bergaya bila nampak ada ayam lain. Ini memang dijaga SMk kerana jika dicross sebarang baka Fire pasti rosak perangainya. 

SMk