Sunday 31 May 2020

Soalan Peminat Ayam Serama


Hari ini SMk menerima dua soalan dari peminat serama berkenaan dengan masalah kesihatan ayam serama. Soalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Bagaimanakan merawat ayam yang mempunyai masalah puru dalam leher ayam? 

Bagi masalah ini, pertama sekali bersihkan mulut dan kerongkong ayam dengan bulu ekor ayam dengan air bersih. Cuba keluarkan sebanyak mungkin saki baki makanan atau apa saja yang terlekat didalam kerongkong atau leher ayam tersebut. Seterusnya ambil sedikit halia dan kunyit hidup, ditumbuk keduanya, diambil sekali dengan air hasil dari tumbukan tadi, digumpal kecil dimasukkan kedalam leher ayam. Setelah dimasukkan, apabila telah ditelan ayam, gosok pelahan leher ayam tersebut pelahan-lahan agar sebatian tadi menyerap kepada seluruh kerongkongnya dan mestilah diulangi 2 kali setiap hari sehingga sembuh. Biasanya, selepas dua hari, ayam akan mulai menunjukan keadaan yang positif. Jika dalam tempoh ini, ayam menjadi tidak berselera untuk makan, maka suaplah ayam tersebut dengan pisang sehingga ayam tersebut berselera semula untuk makan seperti biasa.

2. Apakah teknik terbaik bagi merawat ayam teleng? 

SMk menyarankan rawatan atau teknik mestilah mengikut tahap umur dan kesesuaian semasa bagi seekor ayam. Ini kerana jika ayam tersebut telah tua dan isinya telah keras, maka agak sukar untuk disembuhkan. 

Jika ayam telah dewasa, masukkan ayam tersebut bersama-sama banyak ayam bertina lain atau ayam lain dalam 3 atau 4 ekor agar ayam kembali aktif dan dapat mengurangkan tabiatnya dengan cenderung ke arah melihat satu arah. Boleh juga diletakkan tali berwarna terang di sebelah pangkal sayap berlawanan dengan teleng ayam tersebut. 

Manakala bagi ayam yang masih muda, anak C  dan remaja SMk lebih suka menyarankan agar ayam diurut dengan span basah bersama-sama air suam. Cara mengurutnya adalah seperti video dibawah. 


SMk


Friday 29 May 2020

Friend FB SMk


Ini adalah kali yang keenam, sepanjang mengunakan Facebook akaun SMk telah mencapai tahap 5 ribu friend list. Oleh itu, hari ini, SMk perlu membuat tapisan semula kepada senarai kawan SMk bagi memberi peluang kepada kawan-kawan baru yang hendak menjadi Friend List kepada SMk.


Sejak dari penganjuran online contest yang lepas, banyak permohonan dari sahabat tidak dapat SMk approve, kerana pada timeline mereka mengunakan gambar budak (mungkin anak), gambar isteri dan gambar yang tidak berkaitan dengan ayam serama. Malahan jika dilihat pada timeline mereka, SMk dapati tiada posting tentang ayam serama. Oleh itu, SMk tangguhkan dahulu permohonan tersebut bagi memberi peluang kepada sahabat-sahabat yang benar-benar ingin mengikuti contest online

Maka, hari ini, sekali lagi akaun SMk mencapai lima ribu Friend List oleh itu SMk telah membuat tapisan semula sebentar tadi. Kini jumlah Friend yang ada di akaun FB SMk ialah 4996 orang setelah sedikit tapisan dilakukan. Mungkin SMk akan mengurangkan lagi sebentar lagi, kerana SMk dapati ada sahabat-sahabat serama  SMk memiliki dua atau tiga akaun yang tidak aktif. Ini boleh mengurangkan lagi jumlah friend list tersebut.

Namun, bagi yang hendak mengikuti setiap posting bagi akaun FB SMk sebenarnya sahabat-sahabat boleh menekan butang Follow dan tidak terlepas dari perkembangan Timeline SMk. 

SMk

Thursday 28 May 2020

Induk Fire


Alhamdulillah, petang ni SMk agak free sedikit dan sempat mengambil video induk serama untuk mewakili SMk dalam pertandingan Online anjuran pihak FB Ayam Serama. Walaupun, ayam ini belum siap sepenuhnya, namun sebagai tanda sokongan SMk kepada industri ayam serama Malaysia, maka SMk tetap menghantar wakil.

Sambil melayan lagu-lagu bob marley, SMk edit sedikit video ini untuk blog dan youtube SMk. Semoga keindahan dapat dinikmati bersama, keindahan ayam serama akan bertambah indah kepada peminat yang menghargai dan menikmatinya.

Ini adalah betina last yang ada untuk batch ini yang akan SMk gunakan sebagai salah satu induk reban SMk insya Allah. Semoga usaha ini dipermudahkan Allah. Aamin.

SMk

Tuesday 26 May 2020

Ayam serama dan Sumbang Mahram


Tajuk ni pun dah suspen. Hari ini SMk sekali lagi ditanya berkenaan topik ini yang berbunyi "Adakah Sumbang Mahram dalam breeding serama menjadikan anak-anaknya rosak atau tidak bagus?"

Berdasarkan pengalaman SMk sendiri, SMk menjawab soalan ini dengan dipecahkan kepada beberapa point tertentu. 

1. Jika pasangan sumbang mahram tersebut adalah dari line asal yang terjaga line atau bloodlinenya atau juga bakanya (melebihi F3), maka ianya tidak akan menjadi suatu masalah yang besar sehingga boleh menghasilkan satu keturunan yang tidak baik atau rosak. padanan pasangan dari anak ke ibu atau bapa, malahan adik beradik biasanya tidak memberi sebarang kesan atau kerosakan kepada keturunannya.

2. Jika sumbang mahram dilakukan dalam breeding bagi satu jalur yang masih tidak stabil (samada cross breeding) antara baka yang tidak sama, maka hasilnya selalu agak sukar konsisten untuk mendapatkan anak serama yang positif seperti bapa atau ibunya. Malahan untuk mendapat anak yang rosak juga tidak berlaku. 

3. Namun, bagi perkara perenggan ke 2, perlu diingat, anak serama yang terhasil juga belum pasti rupa, warna, betuk tubuh dan wataknya kerana ianya dikira masih dalam proses RnD. Kebiasaannya hasil anak adalah lebih mengikut ibu, jika ada yang mengikut bapa 100 peratus, maka induk tersebut hendaklah disimpan dan dikira sebagai induk photostate. Tapi hasil anaknya mesti sama atau identikal bukan sekadar warna.. mesti menyeluruh.

4. Maka dimana timbulnya cerita berkenaan kerosakan ini? Sebenarnya ayam serama ini amat fragile atau rapuh kerana ianya merupakan seekor ayam yang memiliki tubuh badan yang halus dan nutrisi tubuhnya cukup sekadarnya saja. Oleh itu, kesilapan kebanyakkan peminat serama ialah memberi suplimen kepada anak serama dengan suplimen dari ayam sabung. Ini menyebabkan kebanyakkan anak serama menjadi belunjur kerana terlalu sihat ditambah dengan jumlah dosage yang agak besar berbanding keperluan seekor serama.

Kesimpulanya, ayam serama akan rosak apabila tidak dijaga dengan baik, sebagai contohnya ayam yang dikandang direban yang saiz biliknya amat kecil dan juga lantai reban yang bergoyang turut menyumbang kepada kerosakkan ayam serama. Jenis makanan juga memainkan peranan dalam kemerjadian seekor serama untuk membesar dengan sihat secara semulajadi.

Kegagalan peminat serama, terutama peminat baru dalm memberi perhatian kepada penjagaan serama inilah sebenarnya penyumbang terbesar kepada kerosakkan serama. 

SMk

Induk Serama Menetas


Alhamdulillah, rezeki hari raya kedua. Ada dua ekor anak serama telah menetas dari induk line Fire. Nampaknya nanti sebelah petang nanti SMk akan alihkan induk dan anak-anak ini ke bilik reban asuhan supaya mereka lebih selesa. Cuma kene tunggu anak-anaknya kering, rasanya tak lama mana.

Semoga membesar dengan baik dan menjadi johan direban SMk. 

Aamin.

Monday 25 May 2020

Latihan Anak A


Hari ini, SMk telah mula menilai beberapa ekor anak A bagi tujuan latihan meja. Nampaknya kali ini, SMk mendapati ada seekor anak A jantan dari line Mahizan Mohamad yang boleh SMk ketengahkan bagi mewakili reban SMk untuk pertandingan Online anjuran sahabat SMk iaitu lan Telipot. 

Masa yang berbaki sebelum last update video adalah pada 4hb Jun 2020, oleh itu SMk rasakan, SMk mempunyai cukup waktu bagi menyertai pertandingan tersebut. Semoga latihan yang dimulakan hari ini akan membuahkan hasil. 

Apa yang penting adalah usaha dan teknik telah diusahakan, kerana akhirnya nanti kita berserah kepada rezeki dan izin Allah.  Tetapi untuk pertandingan kali ini, ianya bukan diadili oleh pengadil bertauliah, kali ini ianya akan dinilai berdasarkan pilihan Like terbanyak di FB. Maka, pemenang nanti agak sukar diramal. Tetapi bagi SMk, seperti biasanya, kemenangan bukan perkara pokok tetapi support kepada usaha sahabat yang menganjurkan pertandingan adalah sesuatu yang utama. 

Tiada penganjuran aktiviti serama maka akan suramlah dunia serama, oleh itu amat penting usaha bagi menyokong aktiviti atau pertandingan yang diadakan adalah amat penting sekali. 

SMk

Friday 22 May 2020

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 2020


Tahun ini sambutan hari perayaan bagi Hari Raya Aidilfitri amat berbeza dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Ini kerana dengan seluruh negara dan kebanyakkan negara di dunia telah dilanda penyakit covid-19, maka sambutan agak berlainan dan agak janggal bagi tahun ini.



Bagi tahun ini, SMk cuma menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama dengan keluarga SMk dan ke rumah IbuBapa SMk (sebelah taman je), mungkin dalam masa 30 minit saja. Kemudian terus balik kerumah SMk semula, SMk tidak membuat sebarang Open House kerana mengambilkira arahan semasa kerajaan yang melarang sebarang aktiviti kunjung mengunjung dilakukan walaupun dikalangan jiran tertangga.

Namun, sebagai tindakan proaktif, walaupun tidak boleh berkunjung, SMk akan menyediakan beberapa lauk hari raya untuk diedarkan hanya kepada jiran terdekat SMk sebagai penganti diri. Semua aspek SOP seperti tidak bersalam dan pengunaan Face Mask perlu dipraktikan disamping menjaga penjarakan sosial. Semoga kita semua dilindungi dari penyakit yang menular dikala kini.

Reban SMk juga masih ditutup untuk sepanjang kunjungan dan lawatan. Insya Allah jika suasana kembali normal maka SMk akan membuka kembali reban SMk nanti. Selepas hari raya nanti SMk akan memulakan projek baru didalam breeding dimana, SMk akan melakukan susun atur semula pembaka dan memberi penumpuan lebih kepada breeding disamping mencapai target untuk mengantikan pembaka yang sedia ada. 

Alhamdulillah, sepanjang tempoh PKPB yang lalu juga, SMk telah menjual hampir 26 ekor anak reban kepada peminat sekitar Kuching Sarawak dengan nilai hampir RM9800.00. Maka dengan itu, SMk lebih mempunyai ruang untuk fokus kepada breeding bagi mencari pelapis bagi pembaka reban kerana SMk mempunyai hampir 12 bilik almari ayam yang kosong. Semoga usaha SMk nanti dipermudahkan Allah. Aamin.

Akhir kata, SMk mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya" dan "Maaf Zahir dan Batin". 

SMk

Tuesday 19 May 2020

Pertandingan Ayam Serama Online

Beberapa hari ini, SMk dihubungi rakan-rakan FB untuk bertanya tentang Game Serama Online. SMk telah memaklumkan bahawa Siri 8/2020 telah tamat dan tiada lagi siri sambungannya selepas ini.


Namun, SMk telah memaklumkan bahawa ada beberapa pihak yang berhasrat untuk menganjurkan pertandingan ayam serama online selepas sambutan hari raya puasa nanti. Setakat ini, yang diketahui oleh SMk adalah satu persatuan ayam serama dan satu lagi oleh admin page jualan ayam serama.

Perancangan penganjuran pertandingan oleh pihak persatuan ayam serama tersebut lebih kepada mengikut prosedur standard penganjuran pertandingan ayam serama seperti yang SMk anjurkan, cuma ianya dikenakan bayaran yuran oleh pihak penganjur. Manakalapenganjuran yang dicadangkan oleh pihak admin page jualan ayam serama lebih kepada pertandingan open, dimana pemenang adalah berdasarkan kepada pilihan pengunjung laman page tersebut dan pemenang ditentukan oleh Like terbanyak yang diperolehi oleh peserta terbabit.

Makanya, pada hemat penganjur ianya lebih mengurangkan kontroversi dipihak pengadilan jika ada. Bagi SMk, apa pun cara yang digunapakai, SMk tetap memberikan sokongan. Ini kerana penganjuran pertandingan ayam serama diakui sebagai salah satu aktiviti yang pastinya menghangatkan senario semasa dunia ayam serama. seterusnya dapat merangsang ekonomi bagi dunia ayam serama. 

Namun semestinya, ada pihak yang kurang bersetuju dengan langkah penganjuran ini kerana kepentingan individu. Tetapi ini adalah usaha murni yang patut diberi ruang dan peluang agar lebih memberi impak yang positif semasa Covid-19 dan selepas hari raya puasa nanti. 

Tempoh masa untuk mengadakan pertandingan secara fizikal juga agak tidak menentu dimana aktiviti berkumpul mungkin hanya akan dibenarkan pada awal tahun hadapan. Oleh itu, bagi mengelakkan kesuraman kepada dunia serama, aktiviti berserama secara medsos ini amat positif sekali dan sepatutnya mendapat tempat dihati peminat ayam serama sendiri.

SMk

Sunday 17 May 2020

Tips Untuk Pertandingan Ayam Serama ONLiNE


Ada beberapa tips untuk peserta yang menyertai pertandingan ayam serama secara online atau virtual game show bagi memaksimakan peluang untuk mendapatkan markah yang lebih. Tips adalah seperti berikut: 

a) Pastikan pengcahayaan yang baik, sebaiknya camera mestilah dibelakang cahaya matahari atau jika mengambil video didalam reban, pastikan lampu dibuka supaya ayam kelihatan lebih jelas.

b) kedudukan pengambil video mesti agak dekat atau frame video difokuskan sedikit kepada ayam, agar lebih jelas.

c) Camera juga mestilah tidak pegun disesuatu tempat, malahan mesti digerakkan dibeberapa sudut pandang agar ayam lebih jelas.

d) Persiapan ayam juga penting, contohnya balung ayam mestilah diminyakkan agar nampak lebih berkilat dan merah. Sebolehnya dielakkan penampakkan warna gelap atau kebiruan pada balung ayam yang hendak divideokan.

e) Secara keseluruhannya, ayam mestilah bulunya nampak rapat ke badan dan tidak berpintal, ditrim pada sebahagian yang dirasakan perlu tanpa merosakkan keseimbangan bulu ayam dan sehingga ternampak permukaan kulit maka dianggap tidak baik.

f) Sayap mestilah dilurut dengan baik, agar kelihatan hampir sekeping dan kemas.

g) Ekor mestilah penuh bilangan ekor ibunya dan sama panjang atau susunan sirih junjung bagi ayam yang matang.

h) Kaki mestilah tegak terutama semasa berdiri atau lock dan mesti bertaji bagi ayam kategori A/B dan ATL.

i) Dari segi gaya ayam, ayam mestilah beraksi dengan kibas dan lock dan berada dibeberapa tempat diatas meja (bergerak dan tidak kaku).

j) Video mestilah dalam format MP4 agar mudah dihantar mengunakan aplikasi whatapps atau diupload di FB.

k) jangan sesekali mengambil video ayam ditengah panas sehingga ayam nampak kehausan maka ini akan mengurangkan aksi ayam dari melakukan aksi yang lebih maksimum. 

l) Ayam sebaiknya diletak diatas meja dan bercarpet bagi memudahkan pergerakkan ayam dengan lebih selesa dan dapat beraksi dengan baik. 

m) Latarbelakang video sebaiknya juga hendaklah mengambilkira akan kebersihan dan sebagainya bagi memaparkan aura positif bagi peminat serama, ini kerana video pertandingan ayam serama akan dilihat oleh pelbagai orang dari pelbagai negara. Maka image positif perlu diambilkira pemilik ayam tersebut.

Sebegitulah serba sedikit tips yang boleh SMk kongsikan sejak menjadi pengadil dan penganjur pertandingan ayam serama online sejak dua menjak ini.

Semoga menjadi manfaat buat semua sahabat-sahabat peminat ayam serama. 

SMk

Saturday 16 May 2020

International Ayam Serama Online Game Show


Alhamdulillah syukur kehadrat ilahi, Game Online Ayam Serama telah dengan jayanya dianjurkan oleh SMk. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah bagi memeriahkan suasana suram dikala negara dan dunia dilanda Covid-19. 

Sambutan pada mulanya agak sedikit dengan disertai oleh sahabat-sahabat peminat ayam serama yang mengenali SMk. Namun setelah beberapa siri pertandingan diadakan, peminat dari luar Malaysia turut serta mengikuti pertandingan yang diadakan ini. 

Peserta adalah terdiri dari pelbagai negara dan latarbelakang iaitu antaranya dari Malaysia sendiri, Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar, USA dan beberapa peminat dari negara Eropah.

SMk mendapat banyak pengalaman berharga sepanjang mennganjurkan pertandingan ini dengan tenaga kerja cuma SMk seorang diri. Pada mulanya memang agak mencabar, namun setelah melalui beberapa siri pertandingan, maka SMk sudah mulai mendapat rentak dan kerja pendaftaran, penilaian menjadi agak mudah dan senang dengan izin Allah s.w.t.

Semasa menganjurkan pertandingan ini juga SMk mendapat input positif dan tidak kurangnya negetif namun SMk selalu berpandangan jauh dan yakin terhadap apa yang SMk lakukan. Oleh itu, segalanya berjalan dengan baik. syukur Alhamdulillah.

SMk tidak dapat membuat semua video bagi siri terawal pertandingan kerana laptop SMk telah diformat kerana masalah teknikal. Bagi memudahkan proses pendaftaran dan penilaian, SMk telah membeli sebuah dekstop rig yang ditempat khas dengan Cip pemprosesan AMD iaitu Ryzen 3 bagi memudahkan ianya disambung kepada TV untuk mendapatkan paparan skrin yang lebih luas. SMk menyambung dekstop tersebut dengan HDMI kepada TV Samsung 32 inci dan dengan paparan tersebut, penilaian yang dijalankan dengan lebih baik. Alhamdulillah segala tugas dapat dijalankan dengan lebih baik ditambah lagi ianya memudahkan kerja video editing ringkas untuk diupload di Youtube.


Video pertandingan siri 04/2020. 



Video pertandingan siri terakhir iaitu siri 08/2020.

Tanpa SMk sedari, SMk telah menjadi pelopor kepada penganjuran pertandingan ayam serama secara online buat julung kalinya. Semoga semakin positif hendaknya.

Hadiah untuk peserta adalah sijil bagi tempat pertama hingga ketiga. Ini kerana pertandingan ini diadakan tanpa yuran dan lebih kepada untuk mengisi masa lapang dan melakukan aktiviti dirumah semasa Covid-19.



Semoga selepas ini, minat berserama terus maintain dan diterima oleh kebanyakan masyarakat setempat. 

SMk