Sunday 30 September 2018

Lawatan sahabat serama


Pada sebelah petang tadi SMk telah dikunjungi oleh sahabat SMk iaitu Junai, En Ibi, Yaakub dan Arziz. Tujuan kedatangan adalah memohon bantuan untuk merawat ayam dan sembang-sembang petang, sambil berkongsi tips pembiakan. Alhamdulillah, sebanyak lima ekor ayam telah dirawat dan diusahakan untuk pengubahsuaian mana yang perlu. 

SMk juga telah melepaskan seekor betina Dara dari bloodline Fire kepada sahabat berkenaan, semoga bermanfaat buat beliau. Manakala En Ibi telah menyerahkan seekor induk Fire 2.0 kepada SMk bagi tujuan pemulihan (masalah makan telur) dan akan diteruskan untuk proses pembiakan.

Bagi Induk tersebut, esok SMk akan melihat induk tersebut secara komprehensif dimana akan dipantau selera makan minumnya. Sisa dalam bekas makanan juga perlu diperhatikan secara kerap bagi melihat induk tersebut cenderung kearah makan makanan jenis mana. Suppliment tambahan seperti madu dan tulang sotong akan diberikan secara berkala jika telah didiagnose penyakit sebenar induk tersebut. Apa yang penting, janganlah induk tersebut pernah diberi pil kalsium. Ini kerana pemberian pil kalsium secara tidak terkawal akan merosakkan sistem peranakan dan kesuburan induk serama.

SMk akan update mengenai induk tersebut secara dekat dan pemantauan akan diupdate setiap minggu. Esok pasangan kepada induk tersebut akan mula ditempatkan ditempat breeding bagi persiapan. Pembaka yang akan dipadankan dengan Induk tersebut ialah dari anak Panglima Purut yang mempunyai tubuh sebatang. 

SMk

Line Godic


Sepasang anak ini adalah dari hasil dari induk muda line Godic tempohari yang ditetaskan melalui tetasan inkubator. Warna anak ini lebih mirip mengikuti warna induknya dan yang positif adalah anak ini mengikut perangai atau gaya dari induknya yang juga mula bergaya semasa anak A juga.

Anak ini juga akan SMk simpan untuk melihat hasil breeding juga sebagai tanda aras bagi breeding yang akan dilakukan nanti. 

SMk

Breeding Process


SMk sering ditanya berkenaan cara breeding dan tapisan. Hari ini pun soalan ini berulang kembali. Bagi menjawab soalan ini, pembiak serama perlu berfikiran positif. Ini amat penting. Jangan sentap.

1. Baka - mestilah baka terkini yang memiliki tubuh atau bentuk badan berbentuk Jantung Pisang dan bukan lagi Apple.

Jantung Pisang

Apple

Perlu perhatian, ada apple yang dikacok telah mengurangkan tubuh applenya tetapi masih dikira bentuk apple (perlu disedari peminat)

2. Pembaka jantan sebaiknya ayam yang terbaik yang boleh dimiliki atau yang termampu dimiliki yang mempunyai susur galur kejuaraan dibon. Ini kerana jika ayam ini pernah juara dibon bermakna ayam ini memiliki tubuh yang cantik berdasarkan pengadil, bukan berdasarkan pandangan peribadi seseorang dan pastinya ayam tersebut memiliki peratusan gaya yang tinggi.

3. Induk mestilah sama bloodline dengan pejantan bagi memudahkan proses mendapatkan anak-anak reban yang positif.

4, Hasil yang diperoleh ini perlu dipilih bagi meneruskan proses breeding dan juga untuk proses upgrade. Ciri tapisan ialah bentuk tubuh, tulang, kedudukan rangka, bentuk kepala dan balung, warna, bentuk kaki (pendek atau tinggi/kurus atau gemuk), bentuk dan kedudukan ekor dan sebagainya. 

5. Sebab itu ayam game bebas jarum amat mahal harganya. Bukan kewujudannya tiada, tetapi ada. Tetapi oleh kerana selalunya tawaran harga agak murah maka lebih baik ayam bergini dikekalkan direban bagi mengantikan pembaka yang ada suatu masa nanti. Reban SMk juga banyak memiliki ayam sebegini yang sebaiknya disimpan sahaja untuk breeding. 

6. Ilmu tapisan perlu ada untuk berjaya sebagai breeder, jika tidak anda akan tercari-cari walaupun berpuluh tahun memelihara serama. 

SMk

Pelapis Induk Kandang



Empat ekor anak C ini adalah pelapis bagi induk kandang reban SMk bagi tahun 2019. Tina ini terdiri dari line Ara (BlackRose) dan seekor anak line Pok Syed (Ekor kelabu) dan seekor tina line Fire. Harapan SMk anak-anak ini akan dimaksimakan bagi proses breeding untuk mengeluarkan anak-anak game 2019.

Setakat ini semua anak-anak ini dalam keadaan sihat dan cergas. Anak ini juga telah divaccine bagi langkah pencegahan terhadap mana-mana penyakit yang boleh merosakkan usaha yang telah dicurahkan. Reban SMk amat mementingkan bab kesihatan ayam serama. 

SMk

Friday 28 September 2018

DirtyAryan Jr.

Ada sahabat bertanya kepada SMk, kenapa DirtyAryan Jr dijadikan pembaka?.



Ada beberapa sebab kenapa SMk menjadikan DirtyAryan Jr sebagai pembaka sebenarnya. Sebab musababnya adalah seperti berikut :

1. SMk tidak boleh mengadili ayam sendiri semasa sesuatu pertandingan, oleh itu meletakkan DirtyAryan dimeja pengadilan ketika SMk menjadi pengadil adalah tidak wajar sama sekali. Walaupun sesiapa yang pernah melihat DirtyAryan jr depan-depan pasti akan tahu, ayam ini memang berpontensi untuk mencapai tahap BOTB seperti bapanya. Rasanya itu tidak dapat dinafikan kerana kalau melihat kepada perangai ayam dipertandingan kalau kita jujur dalam penilaian maka kita akan tahu.

2. Oleh kerana SMk telah dilantik menjadi pengadil, SMk terfikir untuk melepaskan DirtyAryan jr, tetapi memandangkan offer yang diterima SMk agak tidak sesuai dengan potensi ayam tersebut maka SMk harus menolak. Harga buka sebelum dimasukkan induk adalah 3.5k, kerana ayam masih Muda boleh hadir dibon lebih kurang dalam tempoh setahun setengah lagi tambahan boleh dibreeding kerana ayam yang tidak mempunyai masalah struktur tubuh dan mempunyai aksesori yang baik. Oleh itu, sebaiknya SMk simpan sahaja.

3. Oleh kerana SMk menitikberatkan pembaka yang terbaik dengan mempunyai ciri-ciri dan keutamaan kepada perangai, maka SMk rasa adalah lebih sesuai DirtyAryan Jr dijadikan pembaka bagi menurunkan line2 DirtyAryan (DA) selain dari penumpuan kepada bapanya yang telah menurunkan berberapa anak yang boleh dibawa ke pertandingan. Maka disini nanti kita akan membuat satu line baru disamping Fire yang telah sedia ada.

4. Jika SMk berterusan menjadi pengadil untuk pertandingan ayam serama di Sarawak, maka SMk akan menumpukan sepenuhnya kepada breeding dan mengeluarkan produk game.

Dan jika itu berlaku, SMk tidak akan lagi melepas anak ayam sehingga ayam tersebut mencapai usia remaja keatas. Ini perlu bagi menentukan kualiti ayam yang dihasilkan adalah berciri game dan bukan sekadar ayam serama yang cantik dimata.

SMk

Wednesday 26 September 2018

Vaccine



Semalam selesai semua ayam direban SMk telah diberi vaksinasi. Program ini memang SMk lakukan setiap tahun seperti yang telah dijadualkan.

Vaksinasi amat penting bagi SMk kerana jumlah ayam yang banyak dan juga ada ayam yang dari spesis yang berbeza. Keutamaan direban SMk adalah ayam Serama namun SMk juga memiliki ayam laga dari jenis Peruvian dan sepasang ayam laga philipin. Disamping itu, SMk juga memiliki sepasang ayam siam, dan 3 ekor anak muda ayam Ratu.

Apabila telah bercampur disatu reban, maka ayam perlu divaksin sewajarnya bagi mengelak sebarang penyebaran penyakit yang mungkin akan menyerang reban. Oleh itu, langkah pencegahan amat penting bagi memastikan reban sentiasa didalam keadaan yang baik dan mempunyai ayam yang sihat direban.

Sunday 23 September 2018

Bab Ekor Ayam Serama



Terbahagi kepada 4 Bahagian permarkahan :

1. Susunan / Bilangan Daun Ekor

     a. Susunan Ekor tersusun dengan teratur.
     b. Bilangan Daun Ekor hendaklah tidak kurang dari 6 daun.
     c. Daun Ekor yang paling panjang mestilah rapat dengan lawi dan seterusnya. (Sirih Junjung)



2. Bukaan Ekor

     a. Bukaan Ekor mestilah pada 45 darjah.

3. Kedudukan Ekor

     a. Tegak dan terangkat sehingga daun ekor pertama yang paling rapat dengan lawi mesti berada lurus dan menunjuk kelangit.
     b. Tidak terlalu kedepan atau kebelakang (sesuai dengan ayam)
     c. Tidak ke kiri atau ke kanan.

4. Bulu Pengasuh dan Bulu Ibu (Bagi kategori Induk)

     a. Panjang dan keras serta tidak melebihi ekor ibu.
     b. Tersusun mengikut lawi iaitu yang terpanjang mesti berdekatan dengan lawi dan yang berikutnya tersusun kebelakang.

# untuk lebih mendalam secara teknikal dalam pemberian markah, perlu mengikuti kursus kerana apa yang dinyatakan SMk ini hanya secara asas untuk pengetahuan sahaja.


SMk

Saturday 22 September 2018

Janji yang ditepati


Alhamdulillah Induk ini telah SMk serahkan kepada Naz Matang seperti yang telah dijanjikan. Syukur, segalanya berjalan dengan lancar dan baik sekali. Induk ini telah diasingkan setelah membawa dua ekor anak jantan.

Induk ini telah mula bertelur kosong sejak semalam, maka SMk amat berbesar hati menyerahkannya kepada beliau supaya proses breeding boleh terus dilakukan. Untuk rekod, Induk direban SMk kebanyakkan tidak selam tetapi memang boleh menurunkan anak selam jika dimasukkan dengan pejantan yang sesuai dari reban SMk. Satu lagi, Induk direban SMk hanya menurunkan anak kalau banyak pun hanya tiga ekor anak untuk satu-satu masa. Bagi yang boleh menurunkan anak lebih dari itu dengan induk kandang SMk. SMk ucapkan tahniah dan usaha yang terbaik untuk anda.

Bab harga, SMk menjual induk reban dengan harga yang mahal iaitu hampir 1K untuk seekor induk kandang kerana induk kandang telah membawa anak, boleh mengeram dengan baik, mengasuh anak dan dari baka yang baik. Maka itu SMk lebih suka menjual anak C tina berbanding induk kandang dengan bermula dari harga RM688 kepada yang berminat. Jadi terpulanglah pembeli hendak mengasuh anak C tersebut menjadi induk muda yang baik. Nak induk kandang boleh, tetapi harga memang SMk akan lepaskan hanya dengan harga 1K. 

Jika dirasakan mahal, SMk mohon abaikan induk reban SMk dan bolehlah mencari induk direban sahabat yang lain. Ini bukan kerana SMk sombong, tetapi SMk amat menyayangi induk reban SMk dan hanya akan melepaskannya dengan harga yang SMk agak sesuai untuk barang kesayangan SMk, disamping modal serta penat lelah SMk menjaganya sebelum ini.

SMk harap tiada yang marah kepada SMk, kerana masing-masing mempunyai hak keatas reban masing-masing. Akhir kata selamat berserama Mania buat warga Ayam Serama.

SMk

Line Mahizan Mohamad


Pagi tadi semasa memberi makan dan minum direban seperti rutin selalunya, SMk mendapati anak tunggal ini nampak amat positif sekali. Induk ini tidak pernah menurunkan anak lebih dari dua ekor. Kali ini induk ini hanya menurunkan seekor anak yang nampaknya lebih jelas jantan kerana balungnya telah mula nampak semakin jelas berbanding beberapa minggu yang lalu.

Line ini adalah line Mahizan Mohamad @ Jang Botak yang dibeli sendiri SMk dengan beliau hujung tahun 2017, bersama-sama dengan beberapa ekor lagi ayam serama yang juga dari reban yang sama. Induk ini mempunyai perangai yang agak menarik jika kita mementingkan gaya daripada seekor serama.


SMk telah meletakkan anak ini diatas meja bagi melihat potensinya diatas meja. Seperti yang dijangkan SMk, anak ini juga memiliki perangai yang agak positif dimeja dan jika diasuh dengan baik pastinya boleh menyerlahkan lagi potensi anak ini menjadi seekor ayam game. SMk akan melihat nanti perkembangan anak ini secara serius dan melihat kepada aksesorinya samada ianya mempunyai aksesori yang baik atau tidak. Mengikut rekod line ini, anak-anak induk ini akan mula nampak selam apabila menjadi anak C. Sama-sama kita nantikannya.

SMk

Wednesday 19 September 2018

Bab Warna Ayam Serama


Markah bagi warna adalah berbeza untuk anak ayam iaitu sebanyak 5% manakala ayam dewasa (Ayam A, Ayam B, Tanpa Lawi, Muda, Induk dan Remaja) markah penuhnya ialah 8%.

Warna seekor ayam serama hendaklah kelihatan bersih, ceria, terang, berkilat dan menarik. Warna ayam Serama terbahagi kepada 2 iaitu :

a. Warna Utama 
     Merah (Emas 916), Kuning, Ara Ayam Hutan, Rinting Mas (3 Warna)

b. Warna Kedua
     Hitam, Putih, Rinting Murai dan Kurik Kuning, Kubing, Jalak, Kelabu, Kurik Cemar, Warna        lusuh (full cemar).



SMk

Kelas Asas Kategori Ayam Serama


Pada petang hari Ahad yang lepas SMk telah mengadakan satu kelas bagi Asas Kategori Ayam Serama yang telah disertai oleh Aman APM. Kelas tersebut berlangsung lebih kurang 2 jam dengan dilakukan INSITU bersama ayam serama sebagai alat bantuan mengajar. Kelas ini sepatutnya disertai oleh seorang lagi peminat serama, namun beliau membatalkan hasratnya kerana ada komitmen kerja.

Setelah mendapat penerangan yang lebih mendalam, pelatih dapat memahami dan dapat memberi maklumbalas kepada soalan dan masalah yang ditujukan kepadanya. Kelas telah berjalan dengan lancar, semoga pelatih dapat ilmu dan manfaat dari kelas yang telah diadakan tersebut. 

Untuk mereka yang berminat untuk mengikuti kelas bergini, bolehlah berhubung dengan SMk untuk mendapatkan maklumat mengenai kelas dan yuran bagi setiap kelas berkenaan. 


SMk

Anak DirtyAryan


Ini adalah anak pertama bagi induk Muda pertama kali menetas iaitu MiszViraChocha Jr A. Induk muda ini dipasangkan dengan DirtyAryan bagi mendapatkan satu pengukuhan dalam mendapatkan ayam serama yang bergaya dan mempunyai aksesori yang cantik.

Berdasarkan pengalaman yang lepas, anak DirtyAryan akan memiliki perangai yang tersendiri yang meletakkan line ini satu langkah ke hadapan. Pada pandangan SMk, jika anak ini jantinanya Jantan, maka anak ini turut mempunyai potensi yang besar untuk berjaya di Meja Pertandingan Ayam Serama dimasa akan datang. Kita akan lihat perkembangannya dalam tempoh sebulan dua dari sekarang. 

Sebelum ini, SMk banyak melepaskan anak DirtyAyran kepada peminat serama disekitar Kuching, namun kemungkinan dilepaskan agak kecil iaitu dibawah dua bulan, tiada seekor pun yang berjaya melepasi usia remaja berbanding dengan seekor serama yang diberi nama Sri Salak (dijaga SMk sendiri) berjaya mencapai usia remaja dan telah dilepaskan kepada peminat serama. 

Oleh itu, bagi mengambilkira kematian anak-anak tersebut, SMk hanya akan melepaskan anak-anak DirtyAryan apabila mencapai usia remaja keatas sahaja. Ini adalah untuk memastikan anak DirtyAryan boleh mencapai usia sekurang-kurangnya remaja keatas dan berpeluang hadir ke meja pengadilan. SMk tidak pasti kenapa anak ini sakit semasa bertukar tuan, cuma yang pasti SMk merasakan ada beza dari segi penjagaan dan perawatan yang mengakibatkan anak-anak ini tereah kepada sakit dan mati. Maka untuk mengelakkan perkara tersebut berulang, SMk hanya akan melepaskan anak DirtyAryan setelah mencapai usia remaja keatas.

SMk

Monday 17 September 2018

Upate Status Reban (Penggal Kedua)


Setakat ini keadaan reban SMk di Semariang Aman masih didalam kondisi yang baik dengan purata output reban adalah secara purata sekitar 6 ekor ayam berpontensi untuk game setiap bulan. Kebanyakkan ayam-ayam ini telah dijual kepada peminat-peminat serama yang berminat terdiri dari player, breeder dan juga peminat baru diserata Borneo. Jualan bertumpu kepada pasaran Sarawak, Brunei, Sabah dan Kalimantan setakat tempoh setahun ini.

Jualan tertinggi bagi seekor ayam dari reban SMk yang terjual setakat ini adalah 6K sepasang yang dijual kepada Hj Bolkiah dari Kota Kuala Belait Brunei pada bulan Mac yang lalu. Harga jualan secara purata pula setakat ini bagi ayam berpontensi Game adalah 1K bagi Remaja dan Muda. Manakala bagi anak A adalah sekitar RM250 ke RM350 seekor cuting semasa (semakin cantik semakin mahal).

Breeding diteruskan seperti biasa, dengan keadaan semasa beroperasi dengan 7 pembaka aktif terdiri dari baka-baka yang berpontensi menurunkan anak-anak berkualiti bagi pertandingan. Manakala 5 ekor pembaka jantan masih menunggu untuk breeding kerana betina yang bakal dimasukkan masih melalui proses isolasi. 

Status induk Kandang Reban
a. Mengeram sebanyak 6 ekor Induk.
b. Mengasuh Anak 6 ekor Induk.
c. Baru menetas (bawah 7 hari) 4 ekor induk.

Bagi tempoh masa yang akan datang, SMk akan meneruskan projek breeding anak-anak yang berpontensi game berbanding reban SMk di Sungei Bedaun yang lebih menumpukan kepada breeding bagi projek mendapatkan pelapis reban untuk tujuan breeding sahaja secara 100%.

SMk




Induk Serama Garang


Betina ini telah SMk asingkan semula kerana menjadi terlalu garang dengan melawan setiap pembaka jantan yang imasukkan dengannya. SMk akan memasukkannya semula dengan pejantan reban apabila sampai masa yang sesuai nanti. Kesabaran dalam memelihara serama amat diperlukan jika hendak berjaya sebagai breeder serama yang berjaya.

SMk

Anak A Sold Out


Hanya sempat dilatih SMk selama 4 hari setelah diasing kerana telah bertukar tangan kepada pemilik yang baru. Semoga berjasa direban baru nanti.

SMk

Tuesday 11 September 2018

FireKencana


Bermula hari ini, SMk akan mula mengunakan FireKencana sebagai Pembaka tambahan dan akan dimasukkan terus secara aktif pada hujung bulan ini. SMk akan masukkannya dengan induk dari line asalnya bagi meneruskan legasi FireCroc yang lebih dominan dari segi cuting dan perangai.

SMk

Jualan Anak Ayam A


SMk telah menjual seekor anak A dan telah kepada seorang peminat serama yang berminat. Anak ini SMk jual kerana pada game akan datang SMk akan ditugaskan sebagai pengadil, oleh itu SMk bagi peluang kepada peminat untuk melatihnya ke pertandingan. Jika ditangan SMk, biasanya line ini akan menjadi anak game yang baik namun selepas ini segalanya terpulang kepada pemilik barunya.

Anak ini mempunyai 2 adik beradik dan kedua-duanya akan SMk asingkan, dan kita akan lihat perkembangannya nanti. Kebanyakan peminat mencari ayam yang siap bercuting berbanding ayam masih dibawah jagaan ibu seperti ini. Namun jangan terkejut, jika ayam ini tidak dituntut oleh pembelinya, jika diasingkan, ayam ini akan menjadi lebih positif. Ini kerana anak-anak ini adalah dari bloodline pok syed penang.

Kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku dalam tempoh 2 3 hari ini nanti. Apa yang pasti, SMk akan mula mengasingkan ibunya pada sebelah petang hari ini.

SMk

Bantuan Rawatan


Semalam SMk telah membantu melakukan perawatan untuk 2 ekor ayam milik sahabat SMk. Anak A ini didiagnosis menghidapi Tulang Rusuk Tidak Seimbang. Perawatan telah dilakukan dan Alhamdulillah anak A ini kembali sihat semoga terus sembuh dengan sempurna.

Manakala seekor lagi adalah ayam Ara anak C, menghidapi 2 jenis penyakit dan di diagnose sebagai Lari Tuku dan Rusuk yang tidak seimbang. Perawatan telah dilakukan dengan jayanya. Semoga anak C tersebut kembali sihat dan sembuh secepat mungkin.

SMk

Sembang Malam Ahad


Pada malam ahad yang lepas SMk telah bersembang dengan Aman APM dan Eppy mengenai fokus breeding dan pemilihan baka ayam yang perlu dimaksimakan bagi meneruskan kualiti ayam yang sedia ada ketahap yang lebih baik dan keadaan reban yang lebih mampan dan produktif.

Oleh itu, SMk membuat keputusan untuk meneruskan projek breeding bloodline yang sedia ada dengan ditambah dengan pembaka yang baru dipilih dari kalangan ayam muda yang SMk miliki. DirtyAryan Jr juga turut disenaraikan sebagai bakal pembaka reban jika SMk berterusan menjadi Pengadil kepada Pertandingan di Sarawak.

SMk perlu lebih fokus mengeluarkan ayam-ayam yang berkualiti pertandingan walaupun SMk tidak lagi menjadi player. Ini kerana, sebagai pengadil, SMk mempunyai pandangan dan harapan yang tinggi mengenai ayam-ayam berkualiti di pertandingan. Oleh itu, ayam reban SMk perlulah menjadi tanda aras kepada seekor ayam game yang terbaik di Sarawak, supaya menjadi contoh dan ikutan kepada para player dan peminat ayam serama di Sarawak. 

SMk


Wednesday 5 September 2018

Ekor



Ekor merupakan satu aksesori yang penting bagi seekor ayam serama. Selain sebagai pengimbang tubuh, ekor juga memberi rupa yang sempurna untuk seekor ayam serama.

Oleh itu kesempurnaan atau pertumbuhan ekor amat menjadi satu perkara yang amat mustahak, lebih-lebih lagi dalam pertandingan ayam serama, kerana jumlah ekor, kedudukan dan rupanya juga boleh mengurang atau menambah mata skema bagi seekor ayam serama.



Oleh kerana ekor merupakan satu aset dan aksesori penting dalam penilaian pertandingan serama, maka kemerjadian ekor serama amat diambil kira oleh pemilik ayam serama. Oleh kerana ayam serama akan melalui proses meluruh bagi masuk ke kategori tertentu sepanjang usianya, maka bilah ekor akan jatuh secara sendiri. Ianya akan berlaku berberapa kali sepanjang tempoh usia ayam serama.

Namun demikian, kerana jatuhnya bilah ekor kadang-kadang tidak sama, maka ada pemilik yang mencabut ekor seramanya dengan harapan ekor yang tumbuh akan lebih cantik dan sama rata. Tetapi sebenarnya, tindakan ini amat berbahaya. Jika bilah ekor yang dicabut merosakkan bekas atau permukaan dalam kulit ekor lama dan berdarah, kemungkinan darah ini akan menutup lubang ekor lama dan menyebabkan lubang tersebut tersumbat. Seterusnya menghalang tumbuhnya bilah ekor yang baru.

Oleh itu, berdasarkan pengalaman SMk dan kawan-kawan SMk harap tindakan untuk mencabut ekor tidak lagi dilakukan terutama untuk ayam-ayam yang berpontensi game.

SMk

Sunday 2 September 2018

Pertandingan Ayam Serama di Kota Samarahan.



Pada 1hb September 2018, pihak PKKASK telah mengadakan satu pertandingan diuptown Aiman Mall. Kehadiran peserta agak meriah dengan jumlah penyertaan ayam hampir 60 ekor.





Pada hari tersebut SMk tidak bertanding, kerana SMk ditugaskan menjadi pengadil ayam serama. Oleh itu DirtyAryan jr dijadikan maskot untuk tarikan kepada peminat yang hadir pada hari tersebut.



SMk mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, kepada yang kurang bernasib baik boleh cuba lagi dimasa akan datang. Terima kasih juga SMk ucapkan kepada semua ahli PKKASK yang bersungguh-sungguh berusaha menjayakan pertandingan kali ini.

SMk

Sri Salak



Sri Salak telah SMk lepaskan dengan peminat Ayam Serama bernama Zian dari Taman Palma Matang, Kuching Sarawak. Semoga berjasa ditangan tuan baru hendaknya. Aamin.